Sudah sebulan dikebumikan, namun penemuan sebujur mayat yang masih berbalut kain kafan timbul di atas sebuah tanah perkuburan di Kota Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia, menggemparkan penduduk sekitar.

Aneh dan seram, begitulah juga yang dirasakan ramai orang sebaik melihat kejadian ini.

Kelibat mayat itu menjadi tumpuan ramai penduduk sekitar dan luar daerah yang mengetahui kejadian itu selepas tular dalam laman Facebook.

Menurut seorang pengguna Facebook bernama Muharris Alyamani, mayat itu telah dijumpai kira-kira jam 3 petang pada Isnin lalu oleh seorang penduduk yang sedang memotong rumput di tanah perkuburan berkenaan.

“Selepas menemui mayat itu, lelaki berkenaan terus membuat laporan kepada pihak polis selain memaklumkan kepada keluarga arwah,” katanya.

Menurut pihak berkuasa Polsek Pontianak Barat, hasil siasatan didapati jenazah telah dikebumikan kira-kira sebulan lalu.

“Apa yang berlaku pada jenazah berkenaan, kemungkinan akibat tekanan air apatah lagi kawasan itu sering dinaiki air ketika hujan selain menjadi laluan air mengalir. Namun, sehingga kini belum ada punca sebenar diketahui sama ada perbuatan khianat atau memang timbul akibat tekanan air,” jelas pihak berkuasa tempatan.

Penduduk setempat beranggapan kejadian misteri mayat timbul itu adalah berpunca struktur tanah tapak perkuburan itu yang berasaskan tanah gambut dan sering ditenggelami air menyebabkan mayat itu timbul.

Ada juga yang mula mengaitkan kejadian ghaib seperti mayat tidak diterima bumi dan pelbagai lagi tanggapan lain. Lebih-lebih lagi memandangkan hanya kubur jenazah ini saja yang terjejas, manakala lot kubur yang lain berada dalam
keadaan baik.

Apapun, semoga jasad yang timbul itu kembali disempurnakan dengan baik dan bersemadi dengan aman, semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.