McDonald's Malaysia jadi syarikat korporat pertama terima sijil pembayar zakat


Oleh Muhammad Amnan Hibrahim

McDonald’s Malaysia melalui syarikat pengendalinya Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd menjadi syarikat pertama di Malaysia yang mendapat Sijil Pembayar Zakat Korporat daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Sijil yang dikeluarkan sebagai tanda perakuan kepada syarikat-syarikat perniagaan di Malaysia yang membayar zakat korporat mereka di Wilayah Persekutuan itu diberikan ketika majlis penyerahannya yang berlangsung di McDonald’s Presint 2, Putrajaya, baru-baru ini.

Pengarah Kanan Sumber Manusia Pentadbiran, Hal Ehwal Halal dan Latihan McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi bekata, menjadi yang pertama dalam menerima Sijil Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP adalah sesuatu yang amat membanggakan buat syarikatnya.

Pengarah Kanan Sumber Manusia Pentadbiran, Hal Ehwal Halal dan Latihan McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

“Hal ini mencerminkan komitmen McDonald’s Malaysia dalam menunaikan kewajipan sebagai sebuah entiti perniagaan yang dimiliki oleh pelabur Islam.

“Selain itu, menghulurkan bantuan atau sumbangan terhadap golongan yang memerlukan merupakan sesuatu yang cukup dekat di hati kami semua di McDonald’s Malaysia, sama ada menerusi usaha-usaha Tangunggjawab Sosial Korporat (CSR) kami atau pembayaran zakat,”  katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Semenjak pemerolehan McDonald’s Malaysia oleh Lionhorn Pte Ltd, sebuah anak syarikat Reza Group di Arab Saudi pada 1 Disember 2016, syarikat berkenaan telah melakukan pembayaran zakat korporat kepada pihak berkaitan selama tiga tahun berturut-turut dengan jumlah yang diserahkan pada tahun 2019 adalah sebanyak RM1.4 juta.

Yang turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahamd Shukri Yusoff dan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dr Mujahid meletakkan Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat PPZ-MAIWP sambil diperhatikan Azhar (kanan) pada majlis penyerahan zakat korporat dan penyerahan sijil zakat kepada restoran-restoran McDonald’s Malaysia di Wilayah Persekutuan, di McDonalds’s Presint 2, Putrajaya. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

Dr Mujahid berkata, Sijl Pembayar Zakat Korporat ini dilihat mampu memberi nilai tambah kepada Pensijilan Halal sedia ada yang dimiliki sesebuah syarikat, di mana ianya pasti akan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap pilihan mereka setiap hari.

“Kami gembira PPZ-MAIWP mengambil inisiatif untuk memperkenalkan pensijilan ini dan tidak mustahil usaha ini akan turut diikuti oleh pihak berkuasa Zakat di negeri-negeri lain.

“Apa yang lebih membanggakan, jenama global seperti McDonald’s Malaysia sangat menyokong dan komited terhadap kewajipan berzakat ini,” katanya.

Sijil berkenaan akan dipamerkan di lebih 40 restoran McDonald’s yang beroperasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Selain membayar zakat dan penglibatan yang aktif di dalam program berkaitan dengan industri halal seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), HALFEST dan Sidang Kemuncak Halal Dunia, McDonald’s Malaysia juga turut komited dalam menjalankan program kemasyarakatan di seluruh Malaysia.

Antara inisiatif kebajikan yang dilakukan bagi membantu golongan yang memerlukan adalah menggalakkan golongan belia daripada keluarga asnaf untuk menjalani Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald’s dan Program Perantisan Pengurusan yang menyasarkan golongan belia lepasan universiti dalam kategori B40, untuk memulakan kerjaya di McDonald’s sebaik tamat pengajian.