Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan kebenaran menjual tiga produk jenama tempatan yang didapati mengandungi merkuri, racun berjadual yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah, berkata pengguna produk kosmetik itu dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan.

Produk penjagaan kecantikan yang dicemari merkuri. (Gambar hiasan NSTP)

“Merkuri dilarang digunakan dalam pembuatan produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan termasuk boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta sistem saraf.

“Racun berjadual ini juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, baru-baru ini.

Mangsa penggunaan produk kosmetik yang menggunakan bahan diperbuat daripada racun berjadual menunjukkan kesan dialami pada kulitnya. (Gambar NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM)

Dalam kenyataan itu, makluman mengenai produk kosmetik terbabit sudah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM, justeru produk kosmetik terbabit tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM turut menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik yang dikesan mengandungi merkuri iaitu Glow Skin White Brightening Cream, Glow Skin White Sun Care dan Rzac Beauty Crème 2.

Pengguna perlu memastikan produk kosmetik yang dibeli mempunyai kelulusan KKM. (Gambar hiasan/NSTP/ASYRAF HAMZAH)

Dr Noor Hisham berkata, penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik berkenaan yang sudah dibatalkan NPRA adalah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Sehubungan itu, katanya, penjual dan pengedar perlu menghentikan penjualan serta pengedaran produk-produk kosmetik yang dinyatakan dengan serta-merta. 

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga  tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima  tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Gambar utama: Merkuri (kredit Bidadari)