Minggu Fesyen Antarabangsa Ipoh ketengah bakat tempatan


Minggu fesyen lazim mengingatkan kita kepada peragawati tinggi lampai melangkah yakin di atas pentas peragaan dengan persalinan indah mahupun rekaan memikat pandangan.

Antara minggu fesyen yang sering disebut-sebut dan ditunggu-tunggu oleh peminat fesyen seluruh dunia ialah acara peragaan fesyen tahunan yang berlangsung di New York, Paris, London dan Milan.

Malaysia juga tidak ketinggalan dengan acara Minggu Fesyen Kuala Lumpur yang mula diperkenalkan pada 2013. Tetapi tahukah anda? Ibu negeri Perak pun ada minggu fesyen antarabangsanya yang tersendiri!

Dengan kerjasama pihak kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Ipoh serta Tourism Perak, International Ipoh Fashion Week (IIFW) akan melancarkan edisi ketiganya bermula 16 hingga 20 Oktober ini.

Sejak diperkenalkan dua tahun lalu, acara ini menjadi salah satu landasan untuk pereka fesyen tempatan dan luar negara menonjolkan bakat mereka. Berikut adalah foto-foto daripada anjuran lepas:

Di acara ini, pereka fesyen muda boleh memacu minat mereka untuk memulakan perniagaan dalam bidang ini. Selain itu, acara ini boleh menggalakkan kedatangan pelancong asing ke Perak.

Di IIFW juga, pengunjung bakal melihat rekaan fesyen yang dipengaruhi oleh gabungan budaya daripada kaum Melayu, Cina dan India serta kaum di Sabah dan Sarawak.

Antara pereka fesyen yang akan mempamerkan hasil kerja mereka pada acara ini adalah Amanda Brown, Radzuan Radziwill dan Khaljaksa dari Malaysia, serta pemilik label fesyen dari China, Singapura, Indonesia, India, Thailand dan Nepal.

Aktiviti untuk yang berminat

Sebahagian daripada pengisian IIFW yang dijangka menarik minat ramai  ialah dua bengkel yang akan diadakan di Syeun Hotel pada 16 dan 17 Oktober.

  • Bengkel dandanan rambut anjuran Hairdressing Skills Development Association (HSDA)
  • Kursus tata rias dan teknik penggayaan turban oleh jurusolek El Manda Zuhairy

Pertunjukan fesyen IIFW akan diadakan di Lost World of Tambun pada 20 Oktober. Di sini, rekaan pakaian jenis Pret-a Porter (pakaian sedia pakai), pakaian santai sukan, safari dan pakaian pantai akan digayakan.

Peragaan fesyen Muslimah, pakaian moden dan pakaian harian serta rekaan dandanan rambut pula akan diadakan pada 19 Oktober di Pekan Lama, Ipoh.

Berbakti kepada komuniti

Anjuran IIFW juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi Unit Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun serta rumah gelandangan Teduhan Kelana.

Penasihat IIFW, Datin Seri Dr Nomee Ashikin mengajak orang ramai terutamanya badan korporat untuk menyalurkan sumbangan demi menjalankan tanggungjawab sosial korporat mereka.

Terdapat tiga jenis program penajaan, iaitu RM30,000 (platinum), RM20,000 (emas) dan RM10,000 (perak).

Terdapat juga jualan meja untuk majlis makan malam gala 'IIFW Night of Glamour And Glitter' yang bertempat di Hotel Syeun pada 18 Oktober, iaitu dijual pada harga RM5,000 dan RM3,000.

Sebarang maklumat lanjut, hubungi 012-3869265 atau emel ke [email protected] Layari www.internationalipohfashionweek.com untuk ketahui jadual aktiviti IIFW.

Sumber foto: IIFW