Coretan sayu seorang bapa beranak tiga ini, sentuh hati ribuan warga siber sehingga tular pada sambutan Hari Ibu yang lalu.

Dikenali sebagai Khairul Abdullah, bapa muda ini telah membawa tiga anaknya yang masih kecil menziarahi pusara isterinya pada Ahad lalu, malah turut berkongsi detik memilukan itu di Facebook miliknya sehingga tular.

Menerusi coretan Khairul, ada memaklumkan isterinya meninggal dunia kerana jangkitan kuman dalam darah yang menyebabkan kegagalan organ dalaman berfungsi.

Sejak ibu mereka meninggal dunia pada Ogos 2018, saya membesarkan sendiri anak-anak.

“Ketika itu (anak-anak) Khaleef berusia empat tahun, Khaleel pula dua tahun dan Khaleed baharu berusia tujuh bulan. Kini masing-masing dah berusia enam, empat dan dua tahun. Buaih (lasak) kemain (singkatan bukan main),” katanya dalam loghat Utara.

Nukilannya itu mengundang sebak, terutamanya pendedahan kata-kata anak sulungnya, Khaleef yang seolah memahami nasib yang menimpa arwah ibunya.

Oh Allah, please forgive my mommy and put her into syurga (Oh Allah, tolong maafkan ibu saya dan tempatkan dia ke dalam syurga). Amin,” kata Khaleef.

Khairul berkata, itu antara doa tiga anaknya terhadap ibu mereka sebaik selesai bacaan surah al-Fatihah.
Tidak lama selepas itu, Khairul mengajak anak-anaknya pulang ke rumah namun Khaleef menunjukkan reaksi yang berbeza.

“Tadi waktu nak keluar kereta pun dia ambil masa. Dia cakap tak sihat. Aku tahu kalau dia macam mengelak itu tandanya dia sedih.

Foto: Facebook Khairul Abdullah

“Waktu pagi aku ajak pergi pun dia cakap dia takut dia sedih. Korang tahu kan, dia tak pernah menangis pasal mak dia.

“Dia pernah berjanji dengan mak dia yang dia tak akan menangis bila mak dia mati. So dia pegang janji dia. Kalau dia sedih tu, dia akan elak bercakap pasal mak dia,” katanya.

Apabila diajak balik, Khairul meminta Khaleef tunggu sebentar kerana dia mahu bercerita dengan isterinya mengenai tiga beradik itu.

“Daddy nak bercakap dengan mommy. Nak cerita pada mommy pasal baby, pasal adik dan juga pasal abang yang selalu tak dengar cakap daddy.

“Belum sempat aku habis ayat, terus dia peluk kaki aku. Tolong jangan Daddy, jangan beritahu mommy. Tolong, tolonglah. Suara dia pun bergetar kuat.

“Air mata dia tumpah laju tanpa tangis. Dia masih menahan getap bibir dan esakan mula kedengaran. Masih dia meratip ayat please don’t agar aku tak ceritakan pada mak dia,” katanya.

Foto: Facebook Khairul Abdullah

Tindak balas Khaleef benar-benar menimbulkan kekesalan pada diri Khairul.

Ok ok ok, i’m sorry. Daddy minta maaf, daddy tak cerita pada mommy. Abang baik, abang selalu tolong daddy.
“Abang anak yang bijak dan rajin. Ibu pasti sangat berbangga dengan kamu. Aku dah silap ayat. Tak patut aku ugut dia macam tu.

“Aku pula yang menyesal. Aku terbayang apa yang dia rasa. Bagaimana perasaan anak kecil yang menahan rindu pada seorang ibu,” katanya.

Khairul mengakui air matanya turut menitis kerana menyesali perbuatannya itu.

“Aku pula yang teresak-esak kat situ. Kesalnya aku. Dan dia masih menyembam mukanya ke kaki aku menyembunyikan tangisnya.

“Aku angkat, aku dukung dan aku peluk erat,” katanya.

Sebelum mengakhiri coretannya, Khairul sempat menitipkan ucapan Selamat Hari Ibu kepada arwah isterinya.

“Jeda. Yang, anak-anak semua okay. Saya juga okay. Ianya sukar tetapi tidak mengapa. Awak tidak perlu risau tentang kami. Betapa saya berharap awak dapat melihat mereka (anak-anak) kita membesar.

“Baby dah pandai bercakap tau. Abang-abang dah pandai membaca. Semuanya dah besar yang. Awak pasti sangat bangga dengan mereka.

“Bagi saya, saya sudah melakukan yang terbaik. Saya telah memberikan semuanya dan berharap saya juga telah membuatkan awak bangga. Selamat Hari Ibu. Kami sangat merindui awak,” katanya mengakhiri coretan.