Nasi himpit dan kuah lontong, antara hidangan popular dan wajib ada sepanjang perayaan Aidilfitri.

Selain enak dan mudah disediakan, lontong juga dihidangkan dengan pelbagai cara, ada yang menikmatinya bersama sambal, misalnya sambal ikan bilis, udang mahupun sotong.

Kalau penulis, paling suka makan lontong bersama kuah kacang. Bercakap mengenai hidangan ini, biasanya kita lebih cenderung membeli nasi himpit segera sebabnya mudah, rebus dan sedia dimakan.

Tapi ramai yang tidak tahu nasi himpit buatan sendiri jauh lebih nikmat berbanding yang segera. Tidak susahpun untuk membuatnya, jom ikuti resipi ini.

Resipi nasi himpit

Bahan-bahan:

1 pot beras

3 pot air

Secubit garam

Cara memasak:

1. Basuh beras dan masukkan air, garam ke dalam periuk untuk dimasak.

2. Setelah nasi mula kering, kacau sentiasa sambil dilenyek supaya hancur.

3. Gunakan api perlahan dan bila kering terus kacau lagi.

4. Setiap 10 minit mestilah dikacau sebati sehinggalah nasi kering.

Tip: Masak nasi himpit kena banyak kali dikacau supaya nasi cantik dan lembut.

5. Masak lebih kurang 1 1/2 jam dengan api sederhana. Setelah siap, matikan api dapur.

6. Lenyek-lenyekkan nasi dengan menggunakan belakang botol yang bersih sehingga nasi lembut.

8. Sapukan sedikit minyak di sekeliling bekas atau mangkuk untuk mengisi nasi tadi.

9. Kemudian masukkan nasi tadi ke dalam mangkuk dan ratakan.

10. Ambil sehelai plastik bersih dan sapukan sedikit minyak.

11. Tekan-tekankan nasi supaya mampat dengan menggunakan plastik tadi (gunakan sudu yang dibasahi dengan sedikit air untuk disapu pada permukaan nasi agar lebih rata dan licin)

12. Biarkan nasi himpit betul-betul sejuk lebih kurang 4 hingga 5 jam sebelum dipotong.

Nota: Nasi himpit yang telah siap boleh disimpan lama di dalam peti sejuk selama satu minggu.

Resipi kuah lontong

Foto: RASA

Bahan-bahan:

1/4 biji kubis

1/4 biji sengkuang – potong panjang

1 batang lobak merah – potong panjang

6 batang kacang panjang

2 biji terung panjang

1 biji kentang – potong 8

2 keping fucuk – rendam dan potong kecil

1 ikat suhun – rendam dan potong kecil

1 keping tempe potong dadu besar dan goreng

2 keping tauhu potong kecil dan goreng

2 batang cili merah – dihiris

2 batang serai – diketuk

1 cawan udang hidup

2 santan kotak

Garam secukup rasa

Serbuk kunyit

Bahan kisar:

8 ulas bawang merah

1 inci kunyit hidup

2 sudu besar udang kering – rendam dan tos

Cara memasak:

1. Masak bahan kisar dan serai bersama air sehingga mendidih supaya bahan kisar masak sepenuhnya.

2. Tambahkan air secukupnya ke dalam kuali dan biarkan sehingga ianya mendidih lagi.

3. Masukkan semua bahan dan sayur yang jenis keras sehingga sayur yang lembut.

4. Masukkan santan dan kacau rata supaya ianya tidak berketul.

5. Masukkan pula udang serta sedikit serbuk kunyit bagi mencantikkan warna.

6. Akhir sekali masukkan cili merah, tauhu dan tempe yang digoreng.

7. Masukkan garam dan sesuaikan rasa dan kepekatan.

8. Terus kacau kuah selepas beberapa minit api ditutup.

Siap dihidangkan bersama nasi himpit dan kuah kacang untuk raya nanti.