Pemerah pipi antara produk kosmetik yang menjadi pilihan wanita dalam rutin solekan kerana penggunaannya mampu menambahkan seri dan menyerlahkan lagi kecantikan wajah.

Terdapat tiga kategori pemerah pipi yang dijual di pasaran iaitu jenis krim, serbuk dan cecair. Setiap kategori yang dihasilkan mempunyai formula tersendiri mengikut jenis kulit individu.

Kredit gambar: Sydney Community College

Pemilihan pemerah pipi yang bersesuaian mengikut jenis kulit amat penting kerana mampu membantu pemerah pipi untuk kekal tahan lama pada wajah.

Guru imej, Puan Mary menerusi blog puanmary.com berkongsi panduan untuk memilih pemerah pipi mengikut jenis kulit yang sesuai.

1. Serbuk

Kredit gambar: Jolse

Pemerah pipi berbentuk serbuk menjadi kegemaran ramai wanita kerana teksturnya yang halus dan lembut. Pemerah pipi jenis serbuk sesuai digunakan untuk semua jenis kulit, malah sangat digalakkan untuk mereka yang memiliki kulit berminyak. Produk ini juga bagus kerana sifatnya yang lebih tahan lama.

2. Krim

Kredit gambar: Makeup.com

Pemerah pipi berbentuk krim sangat sesuai digunakan bagi mereka yang berkulit kering. Individu berkulit berminyak tidak sesuai menggunakan pemerah pipi jenis krim kerana agak sukar digunakan kerana tidak dapat melekat dengan baik pada permukaan kulit dan mudah kelihatan bercapuk sekiranya tidak dipakai dengan cara yang betul.

3. Cecair

pemerah pipi jenis cecair

Kredit gambar: Joom

Pemerah pipi berbentuk cecair antara yang menjadi pilihan wanita kerana produk itu sangat praktikal untuk digunakan. Produk ini boleh dipakai pada bibir dan pipi serta menjadi satu alat solekan yang sangat menjimatkan masa.

Bagaimanapun, pemerah pipi jenis cecair tidak sesuai untuk kulit kering kerana teksturnya sukar untuk diratakan pada kulit kering, selain lebih sesuai untuk mereka yang berkulit normal dan berminyak. Cara menggunakan pemerah pipi jenis cecair adalah dengan sapuan menggunakan jari untuk menghasilkan sapuan yang sekata.

Semoga bermanfaat.