{
}

Panduan penjagaan rambut bagi wanita bertudung


Oleh Ainur Nadhirah Bahrom Shah

Rambut ibarat mahkota bagi wanita, namun bagi yang bertudung ia bukan alasan untuk mengabaikan penjagaan rapi terhadap rambut. Kebanyakan wanita bertudung tidak menitikberatkan penjagaan rambut kerana beranggapan bahawa apabila memakai tudung, mereka tidak perlu memberi perhatian memandangkan rambut  mereka tersimpan kemas di sebalik hijab.

Sebetulnya penjagaan rambut adalah sangat penting bagi mereka yang bertudung mahupun tidak. Bila memakai tudung, pasti ada sesetengah orang berasa tidak selesa memakai tudung seharian jika rambut tidak berada dalam keadaan yang baik dan terjaga. 

Dengan penjagaan yang rapi, rambut gugur dan  masalah kelemumur dapat dikurangkan. Antara panduan penjagaan rambut bagi wanita bertudung adalah: 

Memilih fabrik tudung dengan betul 

Foto: profhariz.com

Fabrik tudung haruslah dipilih dengan betul agar anda tidak berpeluh kala memakainya dan rambut dapat dijaga dengan baik. Seeloknya elakkan fabrik jenis kapas kerana kainnya menyerap haba. Ia tidak baik untuk rambut dan kulit kepala anda.

Selain itu, pakailah anak tudung diperbuat daripada fabrik yang ringan supaya selesa apabila memakainya. Anda juga disarankan untuk menukar anak tudung agar kepala anda tidak berbau. 

Tidak membasuh rambut setiap hari  

Foto: htgetrid.com

Jika sudah menjadi tabiat membasuh rambut setiap hari, hentikan sekarang. Ini kerana minyak semula jadi yang ada pada rambut akan hilang. Selain itu, apabila seseorang itu tidak mengeringkan rambut dengan betul lalu memakai tudung dalam keadaan basah,  ia akan membuatkan rambut anda berbau dan gugur. Dengan itu, cucilah rambut sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. 

Memilih syampu yang sesuai 

Penggunaan syampu perlulah mengikut kesesuaian masalah rambut dan kulit kepala anda. Di pasaran kini terdapat pelbagai jenis syampu khas untuk wanita bertudung dan tidak menjadi masalah untuk memilih syampu yang sesuai. Seeloknya elakkan menggunakan syampu yang mengandungi banyak bahan kimia. 

Keringkan secara semula jadi 

Foto: m.dream.co.id

Rambut perlulah dikeringkan secara semula jadi tanpa menggunakan pengering rambut untuk mengelakkan ia kelihatan kusam dan tidak bermaya. Biarkan rambut anda bebas dan jangan membungkus rambut dengan tuala ketika mengeringkannya. Pastikan rambut anda betul-betul kering sebelum memakai tudung.