Panduan umrah untuk wanita, penting untuk diketahui


Umrah merupakan satu ibadat yang wajib dilakukan sekali seumur hidup oleh umat Islam yang mukallaf iaitu memenuhi lima syarat; Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan.

Apabila mendapat peluang mengerjakan umrah, persiapan yang rapi perlu dilakukan agar kita bersedia menjadi tetamu Allah di Tanah Suci Makkah dan juga Madinah.

mengerjakan umrah Tiada apa yang lebih membahagiakan daripada mendapat seruan Ilahi untuk berpijak di Tanah Suci Makkah. Kredit gambar: Daurah Haramain

Menurut perkongsian Ketua Pegawai Operasi Amazing Umrah Travel Sdn Bhd, Sarni Abdullah, terdapat dua kategori wanita yang pergi mengerjakan umrah iaitu dengan persediaan dan tanpa persediaan.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah persiapan dalaman iaitu mendalami ilmu manasik umrah serta persediaan fizikal di mana selain aktiviti senaman, amat penting untuk wanita tahu mengenai rutin haidnya,” tuturnya kepada Hijab & Heels.

panduan umrah Amazing Umrah Travel Sarni bersama-sama suami, Hamidi Abd Wahab, membangunkan perniagaan Amazing Umrah Travel Sdn Bhd. Kredit gambar: IM Channel

Berikut merupakan beberapa perkongsian mengenai panduan umrah untuk wanita yang dikongsi oleh beliau ketika ditemui di pejabat Amazing Travel Umrah di Bandar Baru Selayang baru-baru ini.

1. Ketahui tarikh datang haid

Bukan senang untuk seseorang itu menjalani ibadah umrah, justeru rancang perjalanan umrah dengan mengetahui waktu datang bulan kita. Sebelum membuat keputusan untuk menunaikan umrah, wanita disarankan memeriksa terlebih dahulu bila tarikh dan rutin datang bulan.

jadual datang bulan Kredit gambar: Nursingnotes.co.uk

Pastikan pada tarikh penerbangan haid sudah selesai, contohnya jika haid habis pada 15hb, tarikh memulakan umrah boleh dibuat pada pada 17hb. Dengan mengetahui rutin haid, kita dapat fokus melakukan ibadah umrah dengan tenang selama dua minggu itu.

2. Pakaian yang sesuai

Wanita sangat ditekankan untuk menutup aurat dengan sempurna. Kebiasaannya mereka yang melakukan umrah akan mengenakan jubah. Jangan mengenakan pakaian yang terlalu nipis atau terlalu tebal memandangkan cuaca di sana mengalami musim panas dengan suhu  yang tinggi. Pakai pakaian yang sesuai dan elakkan pakaian yang berwarna-warni serta jarang. Selain itu, bawalah tudung sarung kerana ia sangat mudah untuk dipakai.

mengerjakan umrah Kredit gambar: Cuti Umrah

Tip: Tidak perlu membawa beg terlalu banyak dan hanya perlu bawa sekurang-kurangnya empat helai jubah sahaja kerana selain boleh membasuh baju, kebanyakan wanita juga akan membeli jubah baharu di sana.

Ingat! Kita juga tidak perlu bawa duit tunai terlalu banyak kerana di sana terdapat mesin ATM dan kita hanya perlu aktifkan akaun antarabangsa sahaja.

Sarni turut mengingatkan kepada wanita agar membawa stokin dan stokin tangan kerana di kawasan tertentu agak berdebu terutamanya Masjidil Haram dan memerlukan kita bertukar sehari sekali. Selain itu, stokin yang tinggi juga dapat membantu melindungi aurat sekiranya jubah terangkat ketika menunduk.

Begitu juga dengan stokin tangan, ia sangat membantu kerana apabila melakukan tawaf dan perlu melambai Hajarul Aswad, lengan jubah kebiasaannya akan terturun dan menampakkan pangkal tangan. Perkara ini boleh membatalkan ibadah tawaf dan pemakaian stokin tangan sangat praktikal untuk dipakai.

3. Pemakaian deodoran

Isu pemakaian deodoran atau pewangi sering menjadi kemusykilan. Menurut Sarni, pemakaian deodoran dibenarkan sebelum niat ihram. Sunat untuk kita berwangi-wangian sebelum kita melakukan umrah, jadi bawalah deodoran supaya bau badan kita tidak menganggu konsentrasi orang sekeliling.

Sarni turut mengingatkan selepas berniat ihram, wanita tidak lagi dibenarkan memakai deodoran, minyak angin, minyak wangi atau membasuh tangan dengan sabun dalam tempoh lebih kurang dua jam.  

Selain daripada panduan di atas, Hajah Sarni turut berkongsi mengenai panduan berguna jika seseorang itu berniat untuk membawa anak kecil ketika melakukan umrah. Jika ingin melihat panduan lain, boleh tonton video di YouTube Hijab & Heels.

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada mereka di luar sana yang berhasrat untuk mengerjakan umrah. Selamat beramal!