Ada pereka kasut mengatakan, pakailah kasut yang tidak terlalu tinggi iaitu tidak lebih daripada 2cm bagi mengimbangi setiap langkah anda. Lebih rendah kasut yang digayakan lebih baik postur badan.

Sebaik-baiknya, elakkan pemakaian kasut bertumit tinggi kerana boleh menjejaskan otot kaki, menjejaskan tulang belakang dan mungkin boleh membuat si pemakainya terjatuh.

Kasut tumit tinggi daripada Dolce & Gabbana yang dihiasi tatahan batu permata ini sesuai digayakan ke majlis rasmi. (Kredit Instagram @hautecouture.world)

Menurut portal FootCareMD, kasut tumit tinggi direka untuk menjadikan kaki kelihatan panjang, sekali gus memberikan penampilan yang langsing dan tinggi lampai pada si pemakai.

Bagaimanapun, pemakaian kasut tinggi akan memberi tekanan kepada tapak kaki depan, malah kedudukan jari kaki akan terangkat atau mencapah ke atas.

Keadaan ini akan membuatkan bentuk tapak kaki semula jadi berubah dengan tekanan pada bahagian tulang metatarsus (hadapan) dan secara tidak langsung menyebabkan kesakitan pada bahagian berkenaan.

Kesakitan yang dinamakan metatarsalgia itu akan mengganggu dan menjejaskan setiap langkah yang diambil.

Semakin tinggi tumit kasut yang dipakai, semakin tinggi tekanan dirasai pada bahagia metatarsus dan lama kelamaan akan menyebabkan tulang metatarsus pecah tanpa berlaku sebarang kemalangan.

Motif menarik diilhamkan daripada daun bagi menggambarkan keindahan musim luruh hasil rekaan Ralph & Russo. (Kredit Instagram @hautecouture.world)

Bagaimanapun, kebanyakan wanita hari ini khususnya penggemar fesyen sanggup mengalami kesakitan demi tampak bergaya. Bak kata pepatah, kecantikan melalui penderitaan.

Kebanyakan pereka fesyen terkemuka dunia turut melahirkan rekaan kasut yang unik dan pelik khusus untuk peragaan. Meskipun tampak pelik, rekaan yang dihasilkan membuatkan ramai kagum dengan rekaan yang luar biasa itu.

Berikut dikongsikan beberapa kasut dengan rekaan unik yang mencuri tumpuan sepanjang Pertunjukan Fesyen Musim Luruh/Sejuk 2019 dan Musim Bunga/Panas 2020.

Kasut berearna hijau dengan tumit menarik ini hasil rekaan John Galliano pertama kali dipertontonkan pada musim peragaan Musim Luruh/Sejuk 2009, manakala kasut berwarna merah diilhamkan daripada keunikan budaya China rekaan Alexander McQueen untuk Himpunan Siap Dipakai 2017.  (Kredit Instagram @hautecouture.world)

Inspirasi Mesir purba rekaan Alexander McQueen dengan suntikan flora dan fauna yang diperagakan pada Musim Panas 2010, manakaka di sebelah kanan kasut yang diperagakan daripada Himpunan Siap Untuk Dipakai bagi Musim Panas 2012. (Kredit Instagram @hautecouture.world)