{
}

Pertolongan cemas bayi? Anda mesti ambil tahu!


Oleh Muhammad Amnan Hibrahim

Kemahiran pertolongan cemas adalah satu skil penting untuk seseorang individu terutamanya ibu bapa yang memiliki bayi.

Dalam usia yang sangat muda, kesihatan dan keselamatan seseorang bayi adalah aspek yang sangat perlu dititik beratkan oleh ibu bapa dan juga orang yang berada di sekelilingnya.

Kedudukan peralatan berbahaya seperti pisau, cerek air dan ubat-ubatan, jenis makanan yang diberikan dan keadaan semasa tubuh bayi adalah antara perkara yang perlu diambil perhatian dari semasa ke semasa oleh penjaga bagi memastikan keselamatan si bayi.

Namun, kelincahan bayi yang sedang dalam proses pembesaran di samping kesibukan ibu bapa dalam menguruskan hal lain menyebabkan anak kecil mereka terdedah kepada bahaya yang mampu menyebabkan kecederaan yang tidak diingini.

Antara kecederaan dan situasi cemas yang biasa dialami oleh bayi adalah demam sawan, tersedak, melecur dan juga tertelan objek berbahaya.

Oleh itu, amatlah penting untuk ibu bapa mahupun individu sekeliling mengetahu dengan lebih jelas mengenai kaedah pertolongan cemas yang perlu dilakukan supaya mereka menjadi lebih yakin sekiranya berhadapan dengan situasi yang tidak diingini.

Tersedak

Foto: thebump.com

Hal ini adalah antara kejadian lazim menimpa bayi yang masih lagi muda usianya kerana sistem percenaan bayi berkenaan masih lagi dalam proses untuk mencerna bahan-bahan baharu yang masuk melalui mulut mereka.

Antara cara untuk mengesan jika bayi itu tersedak ialah mereka tidak menangis, batuk, bernafas dan mengeluarkan bunyi dalam satu tempoh waktu yang panjang. 

Langkah yang perlu diambil:

  • Pusingkan kedudukan badan bayi berkenaan ke arah bawah dengan muka mengadap lantai.
  • Tampar bahagian belakang di antara tulang belikat bayi tersebut menggunakan bahagian tapak tangan sebanyak lima kali.
  • Pastikan kepala bayi disokong oleh tangan yang satu lagi.
  • Jika aktiviti di atas tidak berjaya mengatasi masalah yang dihadapi, alihkan kembali kedudukan bayi itu dengan menghadap ke atas.
  • Selepas itu, tekan bahagian dada bayi berkenaan dengan menggunakan dua jari sebanyak lima kali
  • Jika kedua-dua langkah di atas tidak berhasil, sila bawa bayi berkenaan ke hospital dengan segera atau telefon talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

 

Demam sawan

Foto: nct.org.uk

Demam sawan biasanya berlaku akibat daripada peningkatan suhu pada tubuh bayi. Badan bayi yang diserang demam sawan akan menjadi kaku atau kejang, tangannya dalam keadaan tergenggam dan tubuhnya kelihatan seperti menggigil.

  • Lindungi bayi berkenaan daripada sebarang kecederaan tetapi jangan kekang pergerakannya.
  • Bukakan baju bayi bertujuan membantu menyejukkan badannya.
  • Lakukan perkara yang boleh menyejukkan suhu bilik  seperti membuka tingkap jika bilik itu panas.
  • Selepas demam kebah, dukung bayi berkenaan dalam kedudukan mengiring sambil mencondongkan sedikit kepala bayi itu ke belakang.
  • Pastikan tangan anda menyokong badan dan kepala bayi berkenaan.
  • Jangan gunakan sebarang bahan beku atau sejuk seperti ice pack dan tuala basah terhadap bayi berkenaan.

Melecur

Melecur ataupun luka terbakar terjadi apabila kulit bayi tersebut bersentuhan secara langsung dengan benda ataupun objek yang berada pada paras suhu yang tinggi.

  • Lalukan air sejuk pada kawasan yang melecur selama sekurang-kurangnya 10 minit.
  • Selepas kawasan lecur sudah mula sejuk, lindungi kawasan berkenaan dengan plastik pembalut makanan ataupun beg plasik yang bersih.
  • Jika kecederaan melecur dalam keadaan di luar kawalan, segera ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan.
  • Jangan gunakan mentega, krim ataupun ubat gigi pada kawasan yang melecur.

Telan benda-benda berbahaya

Foto: raisingchildren.net.au

Bayi tidak mempunyai pengetahuan jelas mengenai apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dimakan. Justeru, mereka tentunya berisiko untuk memasukkan bahan berbahaya seperti ubat-ubatan dan juga permainan ke dalam mulut mereka. 

  • Kenal pasti apa, bagaimana dan berapa banyak bahan berbahaya yang telah masuk ke dalam mulut bayi berkenaan.
  • Segera pergi ke hospital bagi mengenal pasti dengan jelas punca dan kesan bahan berbahaya yang ditelan bayi berkenaan.

Sumber: British Red Cross