Pulmonary Hipertention jarang disebut dalam kalangan rakyat di negara ini. Ia juga tiada kaitan dengan penyakit darah tinggi atau Hipertension yang lazim dialami kebanyakan individu berusia 30 tahun ke atas.

Malah Pulmonary Hipertension juga tidak menunjukkan simpton jelas terhadap penghidapnya, namun antara tanda awal yang sering berlaku terhadap individu yang didiagnos  menghidap Pulmanory Hipertension ialah batuk berpanjangan, semput, degupan jantung tidak normal, dada akan berasa tidak selesa dan cepat letih.

Dr Leong Ming Chern hadir pada sesi perkongsian dengan pesakit Pulmonary Hypertension di IJN. Foto: NSTP/ASWADI ALIAS.

Perunding Kardiologi dan Pediatrik Institut Jantung Negara (IJN), Dr Leong Ming Chern, berkata Pulmonary Hipertension adalah penyakit yang jarang diberi perhatian dan jumlah bilangan pesakitnya semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Berbeza dengan penyakit jantung atau barah yang boleh dikesan agak awal, Pulmonary Hipertension memerlukan masa untuk didiagnos dan setiap pesakit mengalami tanda yang berbeza.

“Ada pesakit mengalami batuk berpanjangan dan ada juga yang mengalami semput atau masalah jantung. Mungkin tanda seperti ini perlu diberi perhatian atau terus sahaja berjumpa doktor untuk tindakan lanjut,”katanya pada forum kesihatan ‘Living Beyond Pulmonary Hipertension’ di IJN, baru-baru ini.

Orang ramai hadir pada forum kesihatan ‘Living Beyond Pulmonary Hipertension’ di IJN. Foto: NSTP/ASWADI ALIAS.

Yang turut hadir di forum berkenaan ialah Perunding Kardiologi IJN, Dr Teoh Chee Keong dan penghidap Pulmonary Hipertension, Siti Nor Farizan Abdul Aziz.

Pulmonary Hipertension (PH) banyak menyerang wanita berbanding lelaki dan penghidapnya boleh mengawal penyakit serta berupaya menjalani kehidupan normal dengan mengambil ubat-ubatan disarankan doktor.

“Meskipun tidak mempunyai ubat khusus untuk merawat PH, rawatan awal boleh dilakukan dan pesakit juga perlu mengikut langkah yang disyorkan.

“Diagnos awal penting untuk mengetahui sama ada anda menghidap PH atau tidak. Sekiranya didapati anda berhadapan dengan PH, kita boleh mulakan rawatan untuk  menolong pesakit seperti mengubah cara hidup demi menangani penyakit dihadapi.” katanya.

Dr Leong berkata, ada lima jenis PH dikenalpasti lazim menyerang individu yang menghidap penyakit berkaitan arteri dan jantung ini, antaranya:

  1. penyakit berkenaan diwarisi daripada ibu bapa
  2. dilahirkan dengan PH
  3. mempunyai masalah jantung atau paru-paru
  4. wujud darah beku di dalam paru-paru
  5. haemoptysis atau batuk yang mengeluarkan darah

 

Siti Nor Farizan Ab Aziz. Foto: NSTP/ASWADI ALIAS.

Sementara itu, Siti Nor Farizan, 39, berkata saat disahkan sebagai individu yang akan hidup dengan PH, beliau berasa seperti berada pada penghujung hidup.

Lebih menyedihkan, ketika itu beliau sedang dalam persiapan untuk melansungkan perkahwinan dengan bakal suami dan tidak banyak maklumat yang boleh ditemui mengenai Pulmonary Hipertension.

“Doktor turut membuat penerangan kepada bakal suami ketika itu kerana sebagai penghidap PH, saya dinasihatkan supaya tidak mengandung. Sekiranya mengandung, bayi akan turut mengalami masalah disebabkan saya sendiri kekurangan oksigen.

“Saya juga sudah menerangkan kepada bakal suami dan selebihnya berserah kepada Tuhan kerana itulah sahaja perkara yang boleh saya lakukan sejurus mengetahui pelbagai implikasi akan dialami apabila menghidap PH,” katanya.

Siti Nor Farizan yang juga kakitangan Jabatan Insolvensi Malaysia, Putrajaya berusia 19 tahun ketika didiagnos menghidap PH, berterima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang memahami siuasi yang dialaminya.

Katanya lagi, beliau mengalami batuk berdarah hampir enam bulan selain cepat berasa letih dan turut dikesan mengalami jantung berlubang.

“Pada mulanya saya pergi ke klinik biasa, tapi apabila batuk semakin teruk dan tidak menunjukkan tanda akan sembuh, saya berjumpa pakar yang akhirnya mengesahkan saya menghiap PH dan ada masalah jantung berlubang.

“Sedih dan murung, itulah keadaan yang saya alami apabila doktor menyatakan penyakit sebenar. Menangis beria pun tiada guna, timbul juga tanda tanya kenapa saya yang terkena penyakit ini.

“Saya cuba menerima kenyataan dan dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya boleh menerima situasi ini dan berupaya menjalani kehidupan normal dan perlu elak daripada memaksa diri melakukan sesuatu yang saya tidak mampu buat,” katanya yang terpaksa hidup dengan keperluan perubatan iaitu tabung oksigen sepanjang hayat.

Seperti yang dinasihatkan doktor, beliau meneruskan rutin sihat dengan keluar bersukan seperti bermain badminton dan berjalan di kawasan rekreasi bagi mengeluarkan peluh bersama keluarga atau rakan-rakan.

“Saya banyak bermohon dan berdoa kepada Allah dalam usaha menangani penyakit yang dihadapi sepanjang hayat ini. Syukur juga kerana masih berpeluang meneruskan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perundangan yang terhenti ketika mula-mula mendapat tahu saya ada PH,” katanya.

Akuinya, hidup perlu diteruskan dan beliau sentiasa berfikiran positif dengan melakukan tugas harian sebaik mungkin selagi tidak mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk kepada kesihatan diri.

“Terima kasih kepada doktor dan jururawat di IJN yang sentiasa bersedia membantu tanpa mengira waktu dan ketika saya memerlukan pertolongan.

“Ketika mahu menunaikan umrah tidak lama dahulu, pelbagai pesanan dan tunjuk ajar diberikan oleh mereka demi kesihatan saya sepanjang saya mengerjakan rukun itu di Makkah,” katanya penuh bersemangat.