Orang ramai yang merancang untuk ziarah-menziarahi sempena Hari Raya nanti tidak dibenarkan untuk bermalam di rumah yang dikunjungi mereka.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan berkenaan akan dianggap sebagai melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan oleh Kerajaan.

PKPB mungkin ditamatkan dan PKP dilaksanakan semula

Kredit gambar: Gulapop

“SOP jelas, iaitu sambutan perayaan adalah pada Hari Raya pertama. Katakan kita menyambut Hari Raya pada 24 Mei, kalau dia tidur di situ lebih jam 12.01 tengah malam sudah dikira 25 Mei dan dia mahu beraya lagi keesokannya, jadi salah dari segi SOP yang dikeluarkan.

“Sangat jelas hanya Hari Raya pertama sahaja yang boleh dibenarkan bersama-sama dengan keluarga di dalam rumah itu. Lebih daripada itu adalah salah dari segi peraturan SOP yang kita keluarkan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai Pelaksanaan PKPB, di Putrajaya, hari ini.

Pada 13 Mei lalu, mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan supaya aktiviti ziarah sempena Aidilfitri hanya dibenarkan pada Hari Raya pertama sahaja.

Pelaksanaan SOP itu adalah bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 yang kini sudah mencatat jumlah keseluruhan sebanyak 7, 137 kes setakat 22 Mei 2020, 5 petang.

Sementara itu, Ismail Sabri turut berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam telah mengadakan sebanyak 154 sekatan jalan raya di sempadan negeri dan memeriksa 264,280 kenderaan.

Kredit gambar: Head Topics

Katanya, daripada jumah itu, sebanyak 2, 539 kenderaan cuba untuk merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung dan mereka telah diarah untuk berpatah balik oleh PDRM.

“Negeri yang mencatat jumlah rentas negeri tertinggi adalah Melaka sebanyak 886 kes, Perak 362 kes dan Pulau Pinang 284 kes.

“PDRM juga turut menahan seramai 64 individu di atas kesalahan melanggar SOP PKPB. Seramai 40 individu direman, manakala 24 lagi diberikan tindakan kompaun oleh pihak polis.

“Saya sangat berharap semua rakyat dapat mematuhi SOP dan peraturan yang diperkenalkan kerana kerjasama inilah yang akan memastikan kita dapat memerangi Covid-19,” katanya.