Tugas di tempat kerja kadang-kala membuatkan anda seharian duduk di meja, fokus kepada tangungjawab yang diberikan. Lebih memburukkan keadaan, ada juga yang memilih menikmati hidangan tengah hari di hadapan komputer demi mengejar masa menyelesaikan tugasan.

Yang paling seronok, apabila berada sepanjang hari di pejabat anda sebenarmya berada dalam situasi yang amat selesa, dikelilingi pendingin hawa dan tidak akan berasa panas pun walau seketika.

Bagaimanapun, tentunya cabaran lain dihadapi jika duduk sepanjang hari di meja kerja, anda akan berasa lenguh badan atau sakit belakang. Kebiasaannya untuk menghilangkan rasa kurang selesa yang dialami itu, ramai yang memilih keluar minum petang di kafe pejabat atau berjalan ke pantri dan membancuh kopi.

Bangun dan berjalan sememangnya satu teknik yang bagus untuk melegakan sakit belakang, menurut Tim Sitt, seorang ahli psikoterapi yang berpengaruh dari Kanada.

“Perkara paling mudah yang anda boleh lakukan ialah dengan bangun dari tempat duduk. Berjalan di sekeliling pejabat anda selama seminit dua pun sudah cukup kerana ia mengubah postur badan dan menjana peraliran darah.”

Teknik regangan lain yang Tim cadangkan ialah dengan bangun dari tempat duduk dan ambil tiga ke empat langkah jauh dari meja.

Bengkokkan badan ke arah meja itu sebanyak 90 darjah. Letakkan kedua-dua tapak tangan di atas meja tadi dan pandang ke lantai. Cuba bayangkan.

Bengkokkan badan dan lunjurkan tangan ke hadapan seperti ini. Sumber: yogaclassplan

“Kemudian dengan tangan anda masih terlekap di meja, cuba ‘tarik’ meja itu ke arah anda. Sepatutnya badan anda akan rasa ketegangan terutamanya di bahagian pinggul.

“Yang paling penting, anda juga akan rasa tekanan pada bahagian belakang lama-lama hilang,” kata Tim.

Kekalkan posisi ini selama 20 saat. Apabila anda tegakkan badan semula, lakukannya dengan perlahan-lahan dan berhati-hati sambil menegangkan teras otot anda.

Teknik ini amat sesuai untuk mereka yang tidak berkesempatan untuk berjalan-jalan mengambil angin jauh dari meja pejabat.

Cubalah! Nescaya seluruh badan anda akan berasa lega.