Kajian terkini mendapati remaja yang aktif dalam media sosial bukan sahaja boleh mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko jenayah, tetapi juga memberi kesan buruk dalam pembinaan identiti remaja.

Kajian yang bertajuk Media Sosial dan Impak Tingkah Laku Menurut Islam yang dijalankan Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu mendapati media sosial mampu mempengaruhi tingkah laku remaja hari ini sehingga sanggup membentuk ‘identiti palsu’.

Penyelidikan oleh tiga pensyarah UTM itu, Tasnim Rosli, Yogenathan Muniandy dan Kamarul Azmi Jasmi itu menunjukkan remaja mudah terpengaruh dengan gaya atau fesyen terkini yang dipaparkan dalam media sosial sehingga keliru dengan jati diri masing-masing.

Remaja bukan sahaja sibuk bermain permainan dalam talian, tetapi juga gemar menjadikan selebriti dalam media sosial sebagai idola. (Gambar hiasan NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG)

Kajian itu mendapati, remaja akan menjadikan media sosial sebagai penanda aras dalam bergaya dan berasa perlu untuk memakai pakaian mengikut perkembangan semasa supaya tidak ketinggalan zaman.

“Media sosial mempengaruhi tingkah laku remaja perempuan, iaitu cara pemakaian mereka kerana mereka mudah terikut dengan fesyen terkini termasuk yang mencolok mata dan yang dipaparkan dalam media sosial.

“Remaja juga menjadi terikut-ikut dengan gaya, fesyen dan pemakaian selebriti kegemaran mereka yang tular dalam media sosial lebih-lebih lagi gaya terkini seperti K-Pop kerana ingin kelihatan sama seperti idola mereka,” tulis kajian berkenaan.

Pandangan itu turut disokong pakai psikologi klinikal yang berpangkalan di Dubai, Dr Saliha Afridi dalam temu bual dengan Harper’s Bazaar Arabia.

Dr Saliha Afrida menyarankan ibu bapa supaya membimbing anak mereka supaya tidak mudah terpengaruh dengan pempengaruh dalam media sosial. (Kredit souncloud.com)

Beliau yang juga Pengarah Urusan Lighthouse Arabia, berpendapat kanak-kanak sepatutnya tidak didedahkan pada media sosial pada usia yang amat muda kerana keburukan platform berkenaan mengatasi kebaikan.

Katanya, usia antara 12 hingga 16 tahun amat penting kerana pada ketika itu remaja akan membentuk identiti dirinya dengan melihat pada individu di sekelilingnya.

Dalam hubungan ini, katanya, pendedahan terhadap media sosial dalam usia muda itu akan menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan pempengaruh yang dilihat hebat kerana mempunyai ribuan pengikut.

“Apabila remaja terlalu kerap menggunakan media sosial, mereka sebenarnya ‘meluangkan masa’ lebih lama dengan pempengaruh berbanding dengan keluarga sendiri.

“Mereka akan mula menjadikan pempengaruh itu sebagai idola dan menganggap mereka perlu kelihatan seperti pempengaruh untuk kekal relevan serta disanjung ramai,” katanya.

Selain ingin bergaya seperti pempengaruh, remaja juga akan meniru solekan pempengaruh atau selebriti yang disanjungi supaya mereka kelihatan sama seperti pempengaruh berkenaan.

Di Korea Selatan dan China umpamanya, semakin ramai remaja yang melakukan pembedahan plastik atau kosmetik semata-mata ingin mempunyai wajah yang cantik seperti idola mereka.

Ramai remaja di Barat gemar melakukan pembedahan kosmetik kerana ingin kelihatan cantik seperti selebriti kesayangan mereka. (Kredit gambar: InsideHook)

Kebanyakan mereka juga sanggup berbelanja besar untuk membeli pakaian atau aksesori yang mampu membuatkan mereka kelihatan seperti artis kesayangan itu.

Keadaan ini amat membimbangkan lebih-lebih lagi jika ibu bapa juga menggalakkan anak mereka untuk membina identiti palsu sebegitu hanya untuk popular.

Sehubungan itu, Dr Saliha berkata, ibu bapa perlu membimbing dan menjadi teman baik kepada anak remaja mereka supaya remaja berkenaan memahami perbezaan antara realiti dan fantasi.

“Jadilah teman baik anak anda, kerana dalam zaman digital ini agak sukar untuk kita menghalang remaja untuk berada dalam media sosial, sebaliknya ibu bapa boleh membimbing anak mereka supaya hidup dalam dunia yang nyata dan bukan kepura-puraan,” katanya.