Bagi penggemar makanan Jepun di Malaysia, selain tempura dan teppanyaki, sushi adalah satu lagi makanan yang sangat menyelerakan, namun tidak semua menggemari makanan yang ada menggunakan ikan mentah itu.

Namun begitu, ada banyak pilihan lain kerana selain menikmati kesegaran salmon atau trout di atas nasi yang sedikit melekit, mereka boleh sahaja memilih sushi yang diadun dengan telur atau sushi tamago.

Sushi tamago sangat mudah untuk disediakan, lebih-lebih lagi dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan ini. Memandangkan semua dikehendaki duduk di rumah, lebih baik sediakan sendiri makanan berbanding keluar dan meletakkan diri dalam risiko.

Telur yang dimasak dengan teknik gulung ini juga enak dimakan dengan nasi putih. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Letakkan sedikit kreativiti dan gunakan apa sahaja bahan yang ada di dapur anda, pelbagai jenis sushi boleh dihasilkan.

Hijab & Heels ingin berkongsi langkah mudah menyediakan sushi tamago, namun mengenyangkan dan tidak perlu risau mengenai bahan mentah kerana penyediaannya memerlukan anda memasaknya di atas dapur.

Sushi tamago mudah disediakan. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Sushi Tamago

Bahan:
3 cawan nasi yang dimasak agak lembik
3 biji telur gred A
½ labu bawang Holland
2 sudu lobak merah yang disagat
2 ranting bayam Brazil
1 sudu teh cili yang diracik halus
½ sudu teh serbuk perasa
2 sudu besar susu segar
Sedikit minyak masak.

Sushi tamago dalam bentuk fusion, dimakan dengan cili padi jeruk dan kicap sushi. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Cara penyediaan:

1. Pecahkan telur, masukkan serbuk perasa dan susu segar, kacau hingga sebati.

2. Panaskan kuali tidak melekat dan tuang minyak masak.

3. Apabila kuali cukup panas, tuang telur sehingga menutup permukaan kuali dan tabor bawang Holland.

4. Apabila telur mula mengeras, gulung perlahan-lahan agar tidak pecah.

5. Kemudian tuang lagi telur dan tabur lobak merah. Gulung perlahan-lahan.

6. Ulang proses sama dengan menabur bahan yang disediakan satu persatu.

7. Apabila selesai, sejukkan seketika sebelum dihiris sederhana nipis dan hiaskan di atas nasi yang sudah dibentuk mengikut acuan atau anda boleh sahaja mengepalnya menjadi bebola nasi.

Resipi ini boleh dipelbagaikan lauknya asalkan anda kreatif, begitu juga dengan nasi, tidak perlu menggunakan beras sushi, sebaliknya tanak nasi yang dicampur dengan sedikit beras pulut, ia akan menjadikan nasi sedikit melekit seterusnya mudah untuk anda membentuk.

Selamat mencuba