Baru-baru ini, tular gambar sebuah rumah kampung di Kelantan yang di luarnya tampak seperti rumah kampung biasa penduduk di Pantai Timur, namun apabila menjengah ke dalam rumahnya, kalah rumah di bandar.

Rumah papan yang sinonim dengan reka bentuk rumah tradisi di Kelantan itu tiada istimewanya jika dilihat pada bahagian luar.

Bagaimanapun, kebijaksanaan penghuninya menghias ruang tamu dengan perabot yang sederhana, tetapi diperindah dengan pelbagai hiasan sampingan menjadikan ruang berkenaan kelihatan moden dan menarik.

Dekorasi yang menyaksikan pertembungan antara moden dan tradisional itu membuatkan kebanyakan warga siber memuji keunikan hiasan ruang tamu berkenaan yang tampak ringkas, tetapi menarik mata memandang.

Penggunaan dua warna sahaja iaitu hijau dan kelabu, tetapi dipelbagaikan dengan rona berbeza menimbulkan suasana tenang dan nyaman.

Meskipun lantainya hanya menggunakan tikar getah berwarna kelabu, corak jalur memanjang menjadikan ruang tampak luas.

Sebagai pelengkap, dinding kayu berwarna hijau diserikan tiang berwarna kuning di segenap ruang dengan hanya satu dinding yang menampilkan corak berbeza di belakang set televisyen, menjadikan ruang ini kelihatan amat teratur.

Perhatian cat dinding yang menarik mata memandang.

Penggunaan langsir yang menjadi satu-satunya elemen bercorak dalam ruang berkenaan membuatkan setiap perabot dan hiasan bagaikan bersatu dengan tema dipilih.

Bagi memastikan perabot bersesuaian dengan tema hiasan, penghuninya menggunakan sofa tiga tempat duduk yang diletakkan sebagai titik tumpu, sekali gus membuatkan hiasannya serba menjadi.

Dua kerusi comel menyerikan ruang.

Pada sisi bersebelahan diletakkan dua kerusi berwarna kelabu yang diserikan meja segi empat berona putih, manakala di setiap sudut diletakkan pokok hiasan berwarna hijau. 

Ditambah meja kopi yang sederhana rekaannya dan dihias dengan set minuman moden menyuntik elemen kedesaan pada ruang berkenaan.

Set minumteh yang sederhana, tetapi menarik.

Apa yang penting, pemilihan perabot yang bercirikan moden dan minamalis menyerlahkan setiap sudut dalam ruang berkenaan. Mungkin hiasan ruang tamu ini boleh memberi ilham untuk anda menghias rumah menjelang Aidilfitri ini.