Perihal kumpulan wanita yang satu ini, merebak bagaikan wabak ke seluruh dunia sejak beberapa tahun lalu.

Hampir setiap orang pasti tahu lagu mereka, DDU-DU DDU-DU dan Kill This Love, bahkan menghafal nama setiap ahli kumpulan ini iaitu Lisa, Jennie, Jisoo dan Rose.

Fenomena diciptakan Blackpink memang cukup luar biasa. Diangkat sebagai sebuah kumpulan wanita Asia paling berpengaruh di dunia, kejayaan empat gadis cantik itu tidak terbatas pada pelbagai kejayaan domestik, bahkan jadi rebutan acara berprestij antarabangsa.

Tahun lalu keempat-empat mereka juga, disenaraikan dalam Wajah Tercantik TCCAsia’s di Asia 2019. Namun rapper dalam kumpulan ini, Lisa atau nama sebenarnya Pranpriya Manoban, 23, mendahului di tangga pertama.

Kecantikan asli Lisa tanpa secalit mekap. Foto: Blackpink Update

Tidak dinafikan antara mereka berempat, Lisa memiliki wajah paling unik dan ianya langsung tidak menghairankan kerana Lisa berasal dari Thailand.

Justeru itu, ramai tertanya-tanya apakah rahsia kecantikan anggota paling popular Blackpink ini dalam hal penjagaan kulit wajah khususnya.

Menerusi satu temu bual, ramai yang terkejut kerana rutin kecantikan Lisa tidaklah serumit yang disangka. Memandangkan dia seorang artis dan hampir setiap hari terikat dengan persembahan, ramai membayangkan dia mungkin mengamalkan lebih daripada tiga regim kecantikan untuk memastikan kulit wajah sentiasa sihat.

Menurut Lisa, dia tidak pernah hidup tanpa pelembap dan pelembut wajah, malah kedua-dua produk kecantikan itu sentiasa berada dalam tas tangannya.

Foto: NST

“Kedua produk penjagaan kulit muka ini mampu membaiki kerosakan muka sehingga ke lapisan yang paling dalam.

“Selepas mencuci muka saya akan menggunakan pelembap dan pelembut muka setiap kali sebelum masuk tidur,” kata ahli kumpulan Blackpink yang paling muda ini.

Katanya lagi, rutin ini perlu dilakukan setiap hari tambahan pula memiliki kulit wajah yang agak kering.

Lisa turut mendedahkan, jika remaja seusianya gemar memilih warna gincu nude, dia pula merasakan merah terang dan warna oren adalah yang paling sesuai untuknya.

Foto: Hellokpop

“Bagi saya semua wanita pun cantik. Saya sendiri amat menghargai kecantikan kerana ia adalah anugerah tidak ternilai buat wanita dan kita sepatutnya menghargai setiap apa yang kita miliki,” katanya.