Sate ayam, sate daging, sate kambing atau sate arnab sudah terlalu biasa didengar, malah sate ayam dan sate daging paling banyak dihidang ketika majlis rumah terbuka atau dimakan pada hari biasa.

Namun begitu, sate tuna mungkin masih jarang didengar kerana tuna bukan spesies yang boleh dibela seperti spesies ikan lain kerana tuna hidup liar di laut dalam dan makanannya juga adalah plankton yang juga ada di kawasan laut dalam.

Sehubungan itu, sate tuna jenama Dr Tuna bukan sebarangan sate lebih-lebih lagi tuna yang dijadikan sate itu adalah tuna sirip kuning yang kualiti khasiatnya kedua terbaik dalam kalangan spesies tuna yang ada di seluruh dunia.

Kartini Isa bersama set nasi goreng kunyit cili padi yang dihidangkan bersama sate tuna di restorannya di Laman Perikanan, Serdang. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Pengurus Opreasi Dr Tuna, Khartini Isa, berkata beliau mendapat idea untuk menghasilkan dan memasarkan sate tuna selepas mengikuti kursus anjuran Jabatan Perikanan.

“Menerusi kursus anjuran Jabatan Perikanan itu, saya dan suami sepakat untuk menghasilkan produk berasaskan ikan tuna kerana ikan biasanya dimakan oleh semua peringkat usia.

“Itulah permulaan Dr Tuna dan sejak itu kami menghasilkan serta melakukan inovasi dengan mempelbagaikan perisa sos sate tuna,” katanya ketika ditemui di Laman Perikanan, MAEPS, Serdang baru-baru ini.

Tuna sirip kuning mempunyai pasaran tinggi di seluruh dunia. Foto: Khartini Isa.

Tuna sirip kuning adalah spesies laut dalam yang hidup dengan memakan plankton di kawasan laut dalam dan bergerak dalam kumpulan besar.

Antara khasiat tuna sirip kuning ialah kandungan lemak tepunya yang rendah selain mempunyai Omega 3 serta protein bermutu tinggi dan berupaya meningkatkan kadar metabolisme dalam badan jika diambil secara konsisten.

Khartini berkata, tuna sirip kuning dianggap produk premium dan lazimnya dijadikan bahan utama dalam makanan seperti sushi dan hidangan Barat.

Oleh itu, beliau mengambil inisiatif untuk menghasilkan resipi berdasarkan cita rasa tempatan dengan memperkenalkan sate tuna.

“Selain sate, Dr Tuna juga menghasilkan pelbagai produk menggunakan tuna sirip kuning untuk pasaran tempatan seperti burger dan mempelbagaikan menu berasaskan tuna.

“Kami menawarkan sate tuna yang dihidangkan bersama nasi goreng kunyit cili padi di premis Dr Tuna yang terletak di Laman Perikanan. Set ini antara yang digemari pengunjung kerana sate tuna berisi padat dan ada dua sos yang boleh dicuba,” katanya.

Nasi goreng kunyit cili padi dihidangkan bersama sate tuna yang enak boleh dinikmai di Dr Tuna, Laman Perikanan, MAEPS, Serdang. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Rasa sate tuna yang dihidangkan jenama itu memang unik. Meskipun rasanya seakan-akan daging ayam, teksturnya sedikit lembut dan amat sesuai untuk kanak-kanak atau mereka yang mementingkan kesihatan.

Orang ramai juga boleh mencuba pelbagai hidangan lain seperti burger tuna dalam pelbagai perisa dan nasi buluh yang enak sekali.

Bagi yang ingin menikmati keunikan sate tuna Dr Tuna boleh berkunjung ke Laman Perikanan di MAEPS Serdang yang dibukan dari jam 11 pagi hingga 9 malam.