Jika suami suka semperit, isteri pula suka kek red velvet, apa kata cuba resipi kacukan semperit red velvet yang dikongsi pemilik akaun Facebook, Kelantanese.

Semperit tradisional berwarna kuning memang digemari ramai, namun tidak salah untuk mencipta resipi baharu berasaskan resipi asal.

Samperit tradisional berwarna kuning dihiasi ceri di tengah. Ada juga berbentuk segi empat tepat. (Gambar hiasan/Kredit Instagram @dapurkakzu)

Warna merah menyala memberikan sentuhan kontemporari pada resipi kacukan ini. Bukan sahaja tampak lebih segar dan berseri, juadah ini pasti membuatkan ahli keluarga kagum dengan bakat memasak anda.

Apa yang penting, bahan bagi menghasilkan semperit red velvet mudah sahaja kerana kebanyakannya sudah sedia ada di rumah.

Berdasarkan perkongsian itu, resipi ini menggunakan cuka, namun bagi yang berminat untuk mencuba, boleh sahaja menggantikan bahan seperti cuka, serbuk koko dan pewarna merah dengan dua sudu besar Red Velvet Emulco.

“Bagi yang tanya perlu atau tidak cuka dalam resipi ini, sebenarnya red velvet bukan berwarna merah sahaja. Ramuan pentingnya ialah susu mentega dan juga koko. Cuka itu hanya berfungsi untuk mendapatkan rasa susu mentega, manakala koko pula untuk melengkapkan rasa.

“Jika tidak mahu memasukkan pewarna pun boleh, tetapi adunan akan menjadi warna koko asli. Kurangkan pewarna juga boleh kerana penggunaan warna merah hanya untuk kelihatan cantik dan sinonim dengan red velvet,” tulisnya.

Berikut dikongsikan resipi mudah untuk menghasilkan semperit red velvet:

Bahan-bahan:

250gm mentega
1/2 cawan susu pekat
2 sudu besar pewarna merah
1 sudu besar cuka makan
3 cawan tepung jagung, diayak
2 sudu besar tepung kastard
1 sudu besar serbuk koko

Cara penyediaan:

  1. Gaul sebati mentega dengan susu pekat. Kemudian masukkan pewarna dan cuka.
  2. Masukkan tepung kastard dan serbuk koko. Gaul sebati, tetapi jangan dipukul, sebaliknya gaul dengan lembut.
  3. Masukkan tepung jagung sedikit demi sedikit sambil diuli. Jika adunan masih lembik boleh tambah tepung jagung hingga doh tidak melekat pada jari apabila digentel.
  4. Sebaik doh siap, pastikan doh tidak terlalu keras kerana apabila diterap doh lembut akan menjadi bentuk yang lebih cantik.
  5. Bakar pada suhu 160 darjah Celsius selama 30 minit, atau sehingga kuih masak sekata sampai bahagian dalam.

Panduan: Cara hendak mengetahui semperit sudah masak sepenuhnya adalah dengan mematahkan satu semperit. Jika bahagian tengah doh masih lembap, masuk balik ke dalam oven dan turunkan suhu 140 darjah Celsius untuk 5 minit lagi. Semperit yang masak sepenuhnya akan rasa ringan bila diangkat.

 

Selamat mencuba!