Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang teruk terjejas sejak penularan wabak koronavirus (COVID-19) kini boleh menarik nafas lega, apabila kerajaan sedang mempertimbang untuk memberi kebenaran bagi mereka beroperasi tidak lama lagi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kerajaan sedang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi tujuan itu yang akan diumumkan tidak lama lagi.

“Insya-Allah kelonggaran akan diberikan kepada syarikat kecil dan PKS untuk dibenarkan beroperasi.

“Tunggu saja pengumuman yang akan kita buat nanti berserta SOP berkaitan dengan PKS,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Kanan Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya.

Mengulas mengenai tindakan penyebaran berita palsu COVID-19 yang boleh menyebabkan kekalutan dan panik dalam kalangan masyarakat, beliau menjelaskan sehingga semalam sebanyak 249 kertas siasatan telah dibuka.

“Sehingga semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka sebanyak 249 kertas siasatan berkaitan berita palsu COVID-19. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 169 masih dalam siasatan, manakala 26 kes telah didakwa di mahkamah dan 15 telah mengaku salah.

penyebaran berita palsu

Kredit gambar: ISMAWeb

“Pasukan Respon Pantas (PRP), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) juga telah ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan dengan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, sejak penubuhan pasukan PRP mula beroperasi pada 24 Mac lalu, sebanyak 243 penafian berita palsu telah dibuat.

Beliau juga menyeru orang ramai bekerjasama bagi menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-89115103 atau layari www.sebenarnya.my untuk menyemak kesahihan berita.