Suhu di Thailand dijangka jatuh mendadak hujung tahun ini, jom pergi bercuti!


Pernahkah anda menjejakkan kaki ke Thailand? Berdasarkan pengalaman penulis, cuaca di sana selalunya panas terik. Bila membeli-belah di pasar Chatuchak pada siang hari contohnya, peluh merenjis kerana keadaan cuaca di sana ketika itu panas terik!

Bagaimanapun, jika anda mempunyai perancangan untuk bercuti di sana hujung tahun ini, ada berita baik untuk anda.

Walaupun ia terletak di rantau Asia, Thailand menikmati kedinginan musim sejuk pada setiap tahun, tetapi janganlah anda mengharapkan ada salji pula.

Pada musim ini, suhu di Thailand kebiasaannya agak rendah. Tetapi untuk tahun ini, ia dijangka akan jatuh lebih rendah daripada biasa, iaitu di antara 7 dan 22 darjah Celcius di seluruh negara.

Di serata Thailand, suhu akan turun. Sumber: iPhoto

Maklumat ini dikeluarkan oleh Kementerian Meteorologi negara berkenaan, yang berkata musim sejuk Thailand akan bermula pada 17 Oktober dan berlangsung hingga Februari hadapan.

Di Bangkok, anda mungkin berkesempatan untuk melawat pasar Chatuchak dan Istana Rasmi Raja Thailand (The Grand Palace) pada suhu 15 hingga 17 darjah.

Bandar-bandar lain juga akan mengalami suhu yang rendah. Contohnya, Phuket yang terkenal dengan pantainya, dijangka akan mengalami suhu 20 hingga 22 darjah.

Untuk Chiang Mai yang terletak di Utara Thailand pula, suhunya berada di antara 12 dan 14 darjah. Chiang Rai yang berhampiran lebih sejuk dan dijangka mengalami suhu 7 hingga 9 darjah.

Di rantau pertengahan, bandar seperti Kanchanaburi akan bersuhu di antara 13 dan 18 darjah.

Buat masa ini, Thailand masih mengalami musim hujan. Tidak lama lagi, ia akan berkurangan untuk memberi jalan kepada musim sejuk.

Jadi jika anda abercadan untuk melancong ke negara jiran kita ini, jangan lupa untuk membawa kelengkapan seperti baju sejuk supaya percutian anda berjalan lancar sekiranya sejuk benar-benar berlaku seperti yang dijangka oleh pihak kajicuaca di sana! Pastikan anda sentiasa periksa maklumat terkini mengenai suhu destinasi percutian anda.