{
}

Suka masakan Arab? Jom belajar buat hummus klasik yang enak ini


Bagi penggemar hidangan Timur Tengah, pastinya mereka pernah mencuba Hummus, sejenis pes lembut dan rasanya sangat enak.

Pes pencicah yang sesuai dimakan dengan roti atau sayuran ini selalunya dinikmati sebelum anda menjamah hidangan yang lebih berat, namun jika mahu menikmati hummus sebagai snek pun boleh!

Kenyataannya, hummus sangat sinonim dengan hidangan kegemaran Arab yang anda perlu cuba, walaupun sekali dalam seumur hidup. Rasanya yang unik ini menggamit selera ramai orang di seluruh dunia.

Bagi yang tidak tahu, hummus diperbuat daripada kacang kuda yang dikisar hingga halus. Ia dicampurkan pula dengan minyak zaitun, jus lemon, garam, bawang putih dan tahini.

Kebanyakan restoran yang menawarkan hidangan Timur Tengah Arab pasti ada menjualnya. Tetapi jika anda berkesempatan dan teringin mencubanya, apa kata anda buat sendiri di rumah? Mudah sahaja!

Di bawah ini ada resipi hummus klasik yang dikongsikan oleh Chef Alon Shaya

Resipi ini memerlukan anda menggunakan jumlah soda bikarbonat yang lebih sedikit bertujuan memudahkan menanggalkan kulit kacang kuda dengan efektif.

Apabila kulitnya ditanggalkan, kacang kuda dapat dikisar dengan lebih mudah dan hasilnya ialah lebih lembut dan halus.

Tonton video ini atau rujuk kepada resipi di bawah untuk belajar.

Bahan

Proses A

  • 1 ½ cawan kacang kuda kering
  • ½ sudu kecil soda bikarbonat
  • 6 cawan air

Proses B

  • 2 sudu kecil soda bikarbonat

Proses C

  • ½ sudu kecil soda bikarbonat
  • 6 cawan air
  • 7 ulas bawang putih

Proses D

  • ¼ cawan Tahini (boleh digantikan dengan mentega kacang semula jadi)
  • 1 ½ sudu kecil garam
  • ½ sudu kecil serbuk jintan putih
  • 2 sudu besar jus lemon
  • 3 sudu besar minyak kanola
  • 2 sudu besar minyak zaitun
  • 2 sudu besar air panas

Cara penyediaan

1. Proses A: Masukkan kacang kuda, soda bikarbonat dan air ke dalam mangkuk besar. Biarkan semalaman.

2. Proses B: Tapiskan kacang kuda dan ratakannya di atas dulang pembakar. Taburkan soda bikarbonat dan ratakannya.

3. Bakar dalam suhu 200˚C selama 10 minit.

4. Letakkan kacang ke dalam penapis. Sambil membilas dengan air sejuk, ramas untuk hilangkan lebihan soda dan cuba tanggalkan kulit kacang.

5. Proses C: Masukkan kacang kuda tadi ke dalam periuk di atas api besar. Tambahkan soda bikarbonat dan air. Rebus kacang kuda berkenaan dengan api sederhana.

6. Dengan menggunakan senduk berlubang, keluarkan sebarang buih dan kulit kacang yang tertanggal dan timbul di permukaan air. Teruskan selama 20 minit.

7. Masukkan bawang putih dan biarkan masak selama 25 ke 30 minit lagi, hingga kacang kuda sudah cukup lembut dan boleh dihancurkan dengan jari.

8. Proses D: Toskan kacang dan bawang yang telah direbus selama beberapa minit supaya ia kering sempurna.

9. Masukkannya ke dalam mesin pengisar atau food processor dan tambahkan Tahini, garam dan jus lemon. Kisar selama dua ke tiga minit hingga campurannya betul-betul halus.

10. Sambil ia dikisar, masukkan minyak kanola, minyak zaitun dan air panas. Teruskan kisar selama beberapa minit lagi atau sehingga anda betul-betul puas hati. Dah siap!

11. Untuk hiasan atau ramuan tambahan, hidang hummus ini dengan sos tahini, minyak zaitun atau daun parsli segar yang dicincang.

Ia sesuai dimakan dengan roti pita. Calit sahaja! Selamat mencuba!