Pernahkah anda mendengar atau ternampak perkataan Wolbachia di halaman akhbar atau di skrin televisyen?

Ia merujuk kepada sejenis bakteria yang digunakan untuk membasmi wabak denggi, Zika atau chikungunya daripada terus merebak.

Seperti mana yang anda tahu, denggi sudah sekian lama menghantui rakyat Malaysia hingga mengambil banyak nyawa. Anda juga pasti tahu betapa merbahayanya virus Zika dan chikungunya yang tersebar di negara luar.

Dalam usaha untuk menghentikan penyebaran penyakit yang disebabkan oleh nyamuk, pihak kerajaan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk melindungi rakyat dengan menggunakan bakteria Wolbachia ini.

Caranya ialah dengan menggantikan populasi nyamuk yang boleh menyebar wabak penyakit dengan populasi nyamuk yang ‘berWolbachia.

Wolbachia boleh dijumpai secara semula jadi di dalam pelbagai jenis serangga termasuklah nyamuk.

Apabila nyamuk jantan yang mempunyai bakteria Wolbachia mengawan dengan nyamuk Aedes betina, mereka akan hasilkan telur yang tidak akan menetas.

Lama-kelamaan, jumlah serangan nyamuk Aedes yang merbahaya akan berkurangan.

Untuk fasa pertama projek ini, kementerian akan fokus kepada dua zon denggi utama di Kuala Lumpur dan Putrajaya di mana nyamuk berWolbachia akan dilepaskan di kawasan tertumpu.

Progresnya akan dinilai sebelum fasa kedua dimulakan, iaitu untuk meneruskan projek ini ke seluruh negara.

Setakat ini, bakteria Wolbachia sudahpun digunakan di sembilan buah negara di serata dunia untuk mengurangkan penyebaran penyakit.

Ia dilihat sebagai cara yang mampan, jimat dan semula jadi untuk mengurangkan penyebaran virus denggi, Zika atau chikungunya tanpa melibatkan sebarang pengubahsuaian genetik.

Menurut laporan New Straits Times, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata strategi ini juga akan mengurangkan pergantungan kita terhadap racun serangga.

Jangan risau! Bakteria Wolbachia ini tidak membahayakan manusia, haiwan atau alam sekitar.