Tak perlu 'mandrem' untuk suami sayang, cukup amalkan 7 doa ini!


Perkara paling menakutkan seorang isteri adalah apabila suami berlaku curang dan dirinya tidak lagi dicintai si suami seperti mula-mula kenal dahulu.

Sememangnya sudah menjadi lumrah seorang wanita yang sentiasa mendambakan perhatian dan belaian kasih sayang daripada suami. Bahkan tiada seorang pun wanita yang mahu berkongsi kasih melainkan mereka itu insan terpilih.

Bercakap mengenai konteks menambat hati suami, sebenarnya ia memerlukan usaha yang berterusan. Kadangkala isteri berasa diri mereka sudah cukup sempurna dalam menjaga keperluan suami dan mereka wajar dihargai atas pengorbanan itu, akan tetapi lelaki pula melihat ia sebagai satu tanggungjawab isteri yang tidak perlu dibayar dalam bentuk balasan mahupun menjaga hati isteri.

Sekiranya anda mempunyai suami yang kurang sikap empati atau tidak pandai menghargai isteri, maka anda perlu meningkatkan usaha untuk 'mengikat' suami agar terus menyayangi dan setia kepada anda.

Ada wanita yang mengamalkan ilmu hitam untuk mengikat suami, misalnya menggunakan ilmu penunduk, minyak pengasih dan seangkatan dengannya, namun perlu diingat kerana perbuatan berkenaan syirik dan berdosa besar.

Sebenarnya, ada cara mudah untuk menawan suami iaitu hanya dengan mengamalkan doa yang tercatit dalam al-Quran mahupun hadis. Untuk mengecapi kebahagian adalah penting untuk kita menjaga hubungan dengan Allah SWT, supaya hubungan dengan suami sentiasa dalam rahmat dan keberkatanNya.

Hijab & Heels berkongsi tujuh ayat yang boleh diamalkan isteri agar semakin hari semakin menggunung kasih sayang suami terhadap kita.

1. Zikir Ya Latif

Latif bermaksud lembut. Apabila anda mengamalkan zikir Ya Latif, maksudnya anda mendoakan agar suami menjadi lembut hatinya dan menyayangi anda tanpa berbelah bahagi, tidak mudah marah dan mengurangkan perselisihan dalam rumah tangga. Anda boleh amalkan membaca zikir Ya Latif sekerap yang mungkin setiap hari.

Panduan istimewa untuk anda, baca zikir ini ketika membasuh beras yang dimasak untuk ahli keluarga tersayang. Sebut Ya Latif sambil berniat dalam hati mohon Allah lembutkan hati suami. Sekiranya anak-anak anda selalu bergaduh atau tidak mendengar cakap, boleh juga niat sekali untuk anak.

Foto: Doktor Jiwa

Rumi: Ya Latiffu Ya Kahfi Ya hafizu Ya Syafi Allah Ya Latifu Ya Kahfi Ya Hafizu Ya Syafi Allah Ya Latifu Ya Wafi Ya Karimu Anta Allah

Maksudnya:

Wahai Yang Maha Lemah Lembut
Wahai Yang Maha Mencukupi

Tiada Tuhan melainkan ALLAH
Yang wujud, tiada Tuhan melainkan ALLAH
Yang disembah, tiada Tuhan melainkan ALLAH
Yang ditujui, tiada Tuhan melainkan ALLAH
Yang maha besar, tiada Tuhan melainkan ALLAH

2. Surah Yasin ayat 36

Surah Yasin dikatakan jantung al-Quran, justeru umat Islam disarankan membaca surah berkenaan setiap hari. Begitu pun, memandangkan gaya hidup masyarakat yang sangat sibuk pada hari ini, mungkin agak sukar untuk meluangkan masa membaca keseluruhan Surah Yasin setiap hari.

Apa yang boleh anda lakukan adalah membaca ayat ke-36 dalam surah terbabit dan niatkan untuk mengikat kasih sayang antara anda dengan suami. Baca sekali sehari sudah memadai, jadikan sebagai amalan harian.

Foto: Sharing is caring

Rumi: Subhaanalladzii khalaqa lazwaaja kullahaa mimmaa tunbitul ardhu wamin anfusihim wamimmaa laa ya'lamuun

Maksudnya: “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada daripada yang ditumbuhkan oleh bumi, atau daripada diri mereka, ataupun daripada apa yang mereka tidak mengetahuinya”.

3. Surah Al-Hujurat ayat 13

Doa pengasih untuk suami yang seterusnya ialah ayat ke-13 dalam surah al-Hujurat. Amalkan membaca ayat ini setiap hari dengan berniat supaya ikatan kasih sayang antara anda dengan suami berkekalan sampai bila-bila.

Foto: Islam Hashtag

Rumi: Yaa ayyuhaa alnnaasu innaa khalaqnaakum min dzakarin wauntsaa waja'alnaakum syu'uuban waqabaa-ila lita'aarafuu inna akramakum 'inda allaahi atqaakum inna allaaha 'aliimun khabiirun

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

4. Doa agar suami tidak berlaku curang

Ketika suami sedang tidur atau suami sedang beristirehat, pujilah suami anda. Usap dan belailah rambut atau wajahnya sambil membaca Surah Yusuf Ayat ke-4. Ambil ayat yang pengakhiran sahaja.

Kalau boleh hembus terus pada muka suami.

Foto: Amalan sihat

Rumi : Inni ro aitu ahada ‘asharo kaukaban wash-shamsa walqomaro ro-aituhum lisajidin

Maksudnya : “Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”.

5. Doa agar suami sentiasa jujur dan tidak berahsia

Sama juga seperti nombor 4, anda disarankan mengusap atau membelai suami sambil membacakan Surah Taha Ayat ke-39, tetapi ambil ayat yang hujung sahaja.

Foto: Shafiqolbu

Rumi : Wa alqaitu ‘alaika mahabbatammini walitusna’a a’laa ‘ain

Maksudnya : Dan Aku telah tanamkan daripada kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu, dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.

Boleh juga cuba baca dan dihembuskan kepada suami atau minuman suami. Juga boleh diamalkan ketika memasak atau menyediakan pakaian suami.

6. Doa agar suami tidak ada niat untuk berkahwin lagi satu

Antara panduan lain untuk melembutkan hati suami adalah dengan menawarkan diri untuk mengurut mereka. Jika anda menawarkan untuk memberikan urutan pada tengkuk, leher, belakang badan atau lain-lain, pasti suami tidak akan menolak. Ketika itu, bacalah Surah Ali Imran ayat ke-31 ini.

Foto: Open Minda

Rumi : Qul inkuntum tuhibbu nallaha fattabi’u ni yuhbib kumullahu wa yaghfir lakum zunubikum wallahu ghafururrahim

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Baca ayat ini sambil mengurut suami. Insya-Allah hati suami akan lembut dan bertambah kasih sayangnya kepada anda. Bagaimanapun, penulis yakin jika anda tidak membacakan ayat ini kepada suami, dia pasti menyayangi anda jika setiap hari anda menawarkan untuk mengurutnya.

7. Doa agar suami setia

Amalkan Surah Ali Imran Ayat ke-200 ini selepas solat fardu harian. Ayat ini bukan untuk suami, tetapi untuk diri sendiri. Amalkannya setiap hari Insya-Allah menemui kejayaan.

Foto: Iluminasi

Rumi : Ya aiyuhallazi na amanusbiru wa sobiru wa robithu wattaqullaha la’allakum tuflihun

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).

Mudah-mudahan dengan amalan doa ini, Allah SWT memelihara perkahwinan kita. Amin.