Antara punca utama kemalangan di jalan raya adalah kecuaian yang lazimnya disebabkan mengantuk yang mana dalam keadaan tertentu seseorang itu boleh terlelap sebentar atau microsleep.

Terlelap boleh berlaku antara 1 saat hingga 30 saat dan paling berbahaya jika berlaku ketika seseorang itu sedang memandu.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM), antara punca seseorang itu boleh terlelap adalah kurang tidur, terlalu penat, jadual tidur yang tidak menentu terutama ibu bapa yang mempunyai anak kecil kerap bangun malam atau badan cuba melawan rasa mengantuk.

Kesemua faktor berkenaan boleh memudaratkan termasuk menyebabkan kemalangan jika seseorang terlelap walaupun hanya sesaat ketika memandu kereta.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya memastikan mempunyai jadual waktu tidur yang baik bagi mengelakkan mengalami terlelap tanpa disedari.

Antara gejala terlelap adalah tersengguk-sengguk, kelopak mata semakin kuyu, tatapan mata kelihatan kosong, mata terkebil-kebil dan lupa kejadian akhir ketika memandu.

Lazimnya rasa mengantuk boleh dialami jika perjalanan dilakukan di lebuh raya atau jalan raya yang lurus kerana tiada cabaran ketika memandu, sekali gus menyebabkan seseorang itu mudah mengantuk.

Tidur lena dan mencukupi boleh mengelakkan daripada terlelap ketika memandu. NSTP/EMAIL

Selain itu, seseorang itu juga lebih cepat rasa mengantuk jika perjalanan membabitkan waktu antara tengah hari hingga petang. Sebaik-baiknya berhenti di separuh perjalanan untuk mengembalikan kesegaran dengan membasuh muka di tandas.

Berikut adalah langkah pencegahan yang dikongsi dalam laman social Facebook KKM bagi mengelakkan kemalangan akibat terlelap:

  1. Jangan memandu jika terasa mengantuk.
  2. Bertukar-tukar pemandu, jika boleh.
  3. Rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan
  4. Berhenti seketika untuk tidur 20 minit.
  5. Berbual dengan teman seperjalanan.
  6. Gerakkan badan seperti bersenam.
  7. Mengambil vitamin atau kafein bagi meningkatkan tenaga dan mengelak kelesuan.

Gambar utama: Kredit Sureplify