{
}

Tidur sebentar pada waktu siang bagus untuk jantung, menurut kajian


Pada waktu tertentu, ada kalanya kita diserang rasa mengantuk ketika bekerja di pejabat dan jika berada di rumah pun keadaan sama boleh berlaku. Jikalau berlaku di rumah, anda mungkin boleh melelapkan mata seketika, sekadar 10 minit atau setengah jam bertujuan menghilangkan rasa mengantuk itu.

Jangan sangka melelapkan mata atau tidur sekejap pada siang hari ialah satu tabiat yang buruk. Jika anda sering melakukannya, anda tidak semestinya malas.

Kajian terbaharu menunjukkan bahawa perbuatan tidur sekejap pada waktu siang, jika dilakukan secara sederhana, mungkin bagus untuk jantung anda.

Menurut kajian ini lagi, didapati orang dewasa di Sweden yang tidur sebentar pada waktu siang sebanyak sekali atau dua kali dalam seminggu mengalami risiko masalah jantung (termasuklah sakit jantung dan strok) yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak tidur siang.

Hampir 3,500 orang dewasa berbangsa Sweden, dari usia 35 ke 75 tahun telah mengambil bahagian dalam kajian ini yang diterbitkan di dalam jurnal Heart.

Mereka menawarkan maklumat mengenai tabiat tidur sebentar dan tidur malam mereka, demografik dan gaya hidup. Mereka juga telah melalui beberapa ujian perubatan untuk meneliti prestasi kesihatan mereka secara menyeluruh.

Lebih separuh daripada mereka berkata mereka tidak tidur siang dalam masa seminggu sebelum kajian itu mula dijalankan, menurut Time.

Antara mereka yang telah tidur pula, 667 orang berkata mereka tidur sebanyak sekali dua dalam seminggu, 411 orang sebanyak tiga ke lima kali, manakala 370 orang telah tidur sebanyak enam ke tujuh kali.

Ada juga orang yang tidur sejenak di tempat kerja. Sumber: Medical News Today

Impak tidak sama

Berdasarkan pemeriksaan susulan sepanjang lapan tahun, 155 orang peserta mengalami masalah jantung. Mereka yang tidur siang sekali dua dalam seminggu mempunyai risiko isu kardiovaskular yang lebih rendah daripada mereka yang tidak tidur siang langsung.

Bagaimanapun, hubungan di antara kekerapan tidur siang dan kesihatan jantung didapati tidak begitu ketara. Peserta kajian ini yang berusia lebih daripada 65 tahun tidak mendapat faedah yang sama seperti peserta yang lebih muda.

Ini mungkin kerana secara semula jadi, risiko masalah jantung mereka lebih tinggi mengikut faktor usia. Menurut kajian ini juga, mereka mungkin tidur siang lebih lama daripada golongan muda.

Faedah 'tidur sebentar'

Tidur sebentar pada siang hari boleh dianggap sebagai satu cara untuk melegakan stres dan menggantikan tidur malam yang tidak mencukupi. Secara tidak langsung, ia membantu melindungi jantung, menurut kajian berkenaan.

Perlu diingati, kekurangan tidur boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti obesiti, kencing manis, tekanan darah tinggi, strok dan kemurungan. Jadi tidur siang dalam hal ini boleh membantu anda menangani hari dengan lebih baik seterusnya menghindari anda daripada penyakit berkaitan kardiovaskular.

Jadi persoalannya sekarang, berapa lamakah patut kita tidur siang?

Kajian ini tidak memberikan jawapan, tetapi ramai pakar mencadangkan tidur selama 20 minit sudah cukup untuk menawarkan faedah termasuklah fokus, prestasi dan mood kerja yang lebih baik.