Sejenis ubat yang digunakan di Jepun bagi merawat strain baharu influenza didapati berkesan ke atas pesakit koronavirus, lapor The Guardian.

Selasa lalu, media Jepun melaporkan pihak berkuasa perubatan di China menggunakan favipiravir dalam ujian klinikal bagi merawat 340 pesakit di Wuhan dan Shenzen.

Pegawai di Kementerian Sains dan Teknologi China, Zhang Xinmin, berkata hasil ujian klinikal itu mendapati favipiravir yang dibangunkan anak syarikat Fujifilm menunjukkan keputusan yang memberangsangkan dalam merawat pesakit koronavirus.

“Ubat berkenaan menunjukkan tahap keselamatan yang tinggi dan jelas memberi kesan kepada rawatan,” katanya kepada wartawan, Selasa lalu.

Menurut saluran penyiaran awam NHK Jepun, pesakit yang positif koronavirus di Shenzen didapati negatif selepas median empat hari diberi ubat berkenaan, berbanding 11 hari median yang diambil pesakit yang tidak dirawat menggunakan favipiravir.

Gambar menunjukkan pesakit positif COVID-19 sedang dirawat di Wuhan, Februari lalu. Pelbagai kajian dilakukan bagi mengenal pasti rawatan bersesuaian bagi mengurangkan gejala koronavirus. (Gambar hiasan/AFP)

Selain itu, sinar-X (X-ray) yang dilakukan mengesahkan perubahan positif pada paru-paru 91 peratus pesakit yang dirawat dengan favipiravir, berbanding hanya 62 peratus pada pesakit yang tidak dirawat dengan ubat berkenaan.

Fujifilm Toyama Chemical yang membangunkan favipiravir atau dikenali juga dengan nama Avigan pada 2014, enggan memberi sebarang komen mengenai kenyataan pihak berkuasa China itu.

Doktor di Jepun turut menggunakan ubat berkenaan dalam kajian klinikal ke atas pesakit koronavirus yang menunjukkan gejala sederhana dengan harapan rawatan itu mampu menghalang pembiakan virus berkenaan dalam pesakit.

Tetapi, sumber daripada Kementerian Kesihatan Jepun mencadangkan ubat berkenaan mungkin tidak begitu berkesan jika diberikan kepada pesakit dengan gejala yang lebih serius.

“Kami memberikan Avigan kepada 70 hingga 80 pesakit, tetapi rawatan berkenaan didapati tidak begitu berkesan apabila virus sudah membiak,” kata sumber terbabit kepada akhbar Jepun, Mainichi Shimbun.

Kekangan yang sama turut dikenal pasti dalam kajian membabitkan pesakit koronavirus yang diberi rawatan menggunakan gabungan ubat antiretroviral lopinavir dan ritonavir untuk human immunodeficiency virus (HIV).

Ketika ini setiappesakit COVID-19 perlu mengenakan topeng muka, namun kebanyakan masyarakat turut memakai topeng muka untuk tujuan keselamatan sehingga kilang terpaksa meningkatkan pengeluaran. (Gambar hiasan/Jonathan KLEIN/AFP)

Pada 2016, kerajaan Jepun membekalkan favipiravir dalam bantuan kecemasan bagi menangani wabak virus Ebola di Guinea.

Sehubungan itu, komuniti perubatan Jepun menggesa supaya favipiravir mendapat kelulusan kerajaan bagi penggunaan berskala besar untuk merawat pesakit COVID-19 memandangkan ubat berkenaan sememangnya dibangunkan bagi merawat gejala selesema.

Seorang pegawai kesihatan negara itu turut memberitahu Mainichi, ubat terbabit mungkin akan diluluskan seawal Mei ini.

“Bagaimanapun, jika keputusan kajian klinikal itu lewat, besar kemungkinan kelulusan juga akan lewat,” katanya.