Bersempena dengan Ramadan, UiTM Private Specialist Centre (UPSC) mengambil inisiatif untuk menyedia dan mengagihkan 1,000 bekas bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif, UiTM Private Healthcare Sdn Bhd (UPHSB), Wan Nazifah Wan Abdullah, berkata inisiatif berkenaan adalah sebagai tanda sokongan kepada wira negara yang bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, selain penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang berkorban masa dan tenaga demi negara, bubur lambak itu juga diagihkan kepada penduduk di sekitar UPSC.

“Kami bersyukur dapat menyambut bulan yang mulia ini bersama-sama kakitangan dan doktor pakar termasuk masyarakat setempat yang berbilang kaum, malah inisiatif ini sudah menjadi tradisi UPSC pada setiap Ramadan.

“Ini adalah kali ketiga pengagihan bubur lambuk oleh UPSC kepada kakitangan, doktor pakar dan orang ramai yang melalui kawasan ini,” katanya yang turut mengagihkan bubur lambuk itu bersama-sama staf dan doktor pakar.

Sebahagian pengunjung UPSC yang menerima sumbangan bubur lambuk.

Paling menarik, masakan popular yang mengandungi daging cincang, rempah-ratus, santan dan beras itu disediakan sendiri kakitangan dan doktor pakar UPSC daripada urusan memasak hingga pembungkusan untuk diedarkan kepada masyarakat setempat.

Bubur lambuk itu diagihkan di enam lokasi iaitu di kawasan Sungai Buloh, Damansara dan  Shah Alam. Selain diagihkan kepada petugas UPSC, bubur lambuk itu turut diedarkan kepada  pihak polis dan askar di lokasi sekatan jalan raya.