Keleteh manja penyanyi Elly Mazlein yang popular dengan perwatakan ‘gedik’ mencuit hati peminat menerusi satu perkongsian video resipi masak lemak ketam di saluran YouTube miliknya.

Video berdurasi 18 minit 31 saat bertajuk Papa kiss terus tak boleh masak?? itu mendapat perhatian ramai gara-gara telatah manja dan spontan Elly yang tidak keruan selepas lehernya dicium suami, Mohamad Azlan Che Nuh.

papa kiss leher elly mazlein

Kredit gambar: YouTube Dunia Elly Mazlein

Video yang dirakam di dapur kediaman pelakon drama Kampung People itu setakat ini  mencecah lebih 868,000 tontonan di saluran YouTubenya, Dunia Elly Mazlein.

“Ni nak masak ke nak sambung sekejap lagi. Ala romantiknya ‘pakwe’ kita, I love you, papa,” tutur penyanyi lagu Bungaku Bakawali itu sambil meneruskan masakannya.

Telatah lucu Elly meraih pelbagai reaksi daripada netizen antaranya ramai yang tidak sabar mahu berkahwin dan menganggap pasangan suami isteri itu sangat ‘sweet.’

Menurut pengacara program Bintang Bersama Bintang itu, jika tiada penggambaran drama atau apa-apa majlis, dia lebih gemar meluangkan masa di rumah dan masak untuk keluarganya.

Berikut merupakan resipi masak lemak cili padi yang dikongsi Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi. Kata Elly lagi, resipi yang dimasak adalah kegemaran abah dan suami tersayang.

Resipi ini bukan sahaja sangat sesuai untuk mereka yang tidak gemarkan pedas, malah sesuai untuk disediakan bagi mereka yang tidak cukup bahan di dapur. Jom lihat resipi yang diberi nama ketam masak lemak cara kepom ini.

papa kiss leher elly mazlein

Kredit gambar: YouTube Dunia Elly Mazlein

Bahan yang digunakan:

Ketam

1 kotak santan

Serbuk Maggi Cukup Rasa

Gula perang

Serbuk kunyit

Bahan yang dikisar

1 ulas bawang merah saiz besar

2 ulas bawang putih

1 inci kunyit hidup

2 tangkai cili padi

Cara penyediaan:

  1. Masukkan semua bahan yang dikisar ke dalam kuali yang belum dinyalakan api.
  2. Kemudian masukkan ketam dan daun kunyit.
  3. Selepas itu, masukkan santan kotak.
  4. Setelah semua bahan dimasukkan, buka api dan masak sehingga mendidih.
  5. Seterusnya, masukkan serai yang dititik.
  6. Masukkan serbuk Maggi, gula perang serta serbuk kunyit secukup rasa dan kacau sebati.

Resipi masak lemak cili padi siap untuk dinikmati. Elly turut memberi panduan di mana kuah masak lemak akan rasa lebih sedap jika dibiarkan pekat. Selamat mencuba!