Beberapa jenama mentega premium yang terdapat pasaran, jika digunakan dalam masakan seperti kek, biskut atau manisan mencipta rasa yang cukup enak dan mewah.

Namun begitu, dalam memilih mentega premium, masih ramai yang ragu-ragu akan status halalnya, walaupun pada pembungkusan memaparkan logo halal!

Biasanya kebimbangan pembeli terutama yang beragama Islam membabitkan kandungan gelatin sama ada berasaskan lemak binatang atau bahan pengawet yang boleh memudaratkan kesihatan.

Jika anda seorang yang waswas, mungkin anda boleh belajar menghasilkan mentega sendiri, yang semestinya dijamin bersih kerana ia hasil air tangan anda sendiri.

Bahan-bahan untuk membuat mentega tidak susah sebenarnya, cuma ia memerlukan sedikit ketekunan terutama proses menjadikannya beku.

Jom kita intai bahan-bahan dan cara membuatnya.

Bahan-bahan:

  • 250ml susu jenis whipped cream atau thickened cream atau  heavy cream (pastikan pada kotak, tertera kandungan 35 peratus lemak susu). Ramai yang menyarankan susu masakan daripada jenama Paul’s.
  •  Air sejuk campur ais
  • Garam

Cara penyediaannya

1. Pukul susu whipped cream/thickened cream/heavy cream dalam mesin pengadun pada tiga tahap kelajuan dimulai dengan perlahan, sederhana dan laju. Pukul hingga susu menjadi krim putar dan terpisah daripada air.

Biasanya, bila kita memukul krim putar agak lama ia akan bertukar kepada dua tekstur, cair dan kental. Memang tekstur sebegini yang dimahukan.

2. Bila krim putar dan air sudah terpisah, tapis airnya.

3. Kemudian masukkan air sejuk berisikan ais dan kacau bersama adunan krim putar hingga menjadi kental dan bulat. Buang air yang terapung pada bahagian permukaan.

4. Ulang langkah yang sama beberapa kali sehingga air berisikan ais yang dituang menjadi hampir jernih. Air ais yang bertukar jernih itu menandakan mentega anda sudah siap.

5. Selesai proses ini, barulah dicampurkan dengan sedikit garam atau apa sahaja bahan tambahan yang dimahukan. Ingat, bahan tambahan hanya boleh dimasukkan selepas mentega sempurna.

Untuk panduan yang lebih mudah, boleh menonton video di bawah sebagai rujukan.

Sumber: YouTube

Kalau sudah pandai buat sendiri nanti, rasanya tidak perlu beli mentega lagi.

Jika tidak digunakan untuk membuat kek atau biskut, boleh disapu pada roti dengan menambah bawang putih cincang, sedikit garam dan serbuk pasli.

Selamat mencuba!